Make your own free website on Tripod.com
Perlis Indera Kayangan

         Negeri Perlis Indera Kayangan merupakan negeri yang terkecil di Malaysia. Negeri ini terletak di utara Semenanjung Malaysia. Negeri ini bersempadan dengan Negara Thai di sebelah utara, manakala di barat dan selatannya pula, negeri ini bersempadan dengan negeri Kedah Darul Aman.

         Keluasan negeri Perlis adalah kira-kira 795 kilometer persegi. Penduduknya pula dianggarkan seramai 175 000 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan Thai. Ibu negeri Perlis ialah Kangar manakala bandar dirajanya pula ialah Arau.

         Walaupun negeri Perlis negeri yang terkecil, ekonomi negeri ini berkembang begitu pesat. Kawasan perindustrian Jejawi dan Cuping telah membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk mendapat pekerjaan, khususnya dalam sektor perindustrian.

         Selain perkembangan dalam bidang ekonomi, negeri Perlis mempunyai beberapa tempat yang menarik untuk dikunjungi. Antara tempat  menarik itu ialah Kuala Perlis. Bandar pelabuhan ini merupakan pintu masuk keluar pelancong-pelancong yang akan berkunjung ke Pulau Langkawi atau ke Satun, Negara Thai, melalui jalan laut .

         Selain Kuala Perlis, Gua Kelam yang terletak di kaki bukit merupakan gua batu kapur yang terkenal dengan stalakit dan stalagmit yang unik. Di Sungai Batu Pahat pula, terdapat Taman Ular, Institut Penyelidikan, Taman Burung , dan sebagainya.

         Satu tempat menarik lagi di negeri Perlis ialah Tasik Melati. Tasik semula jadi ini mempunyai lebih daripada 34 buah pulau yang kecil di dalamnya. Semasa perjalanan dari Kangar ke Padang Besar, pengunjung akan melintas suatu kawasan pengairan yang luas, iaitu Empangan Timah Tasuh.