Make your own free website on Tripod.com
Taman Negara
 Gunung Mulu

         Taman Negara Gunung Mulu terletak di utara bandar Miri, Sarawak. Taman Negara ini mempunyai rangkaian gua yang menakjubkan dengan keluasan 544 kilometer persegi. Terdapat enam buah gua dalam keluasan tersebut dan empat daripadanya terkenal sebagai pusat pelancongan, iaitu Gua Rusa, Gua Lang, Gua Air Jernih, dan Gua Angin.

         Gua Rusa mempunyai keluasan dua kilometer persegi dan 90 meter tinggi. Perjalanan sejauh tiga kilometer untuk ke sana akan merentas paya dan gua batu kapur. Sejarah menunjukkan bahawa gua ini pernah menjadi tempat tinggal bagi penduduk tempatan.

         Kedudukan Gua Rusa tidak bersendirian kerana gua ini bersambung dengan Gua Lang. Saiz Gua Lang agak kecil berbanding dengan Gua Rusa, namun di dalamnya banyak terdapat stalaktit dan stalagmit yang membentuk landskap semula jadi.

         Selain itu, penerokaan ke Gua Air Jernih yang berukuran 107 kilometer persegi juga menjadi daya tarikan pelancong. Gua terpanjang di Asia ini dapat dikunjungi dengan merentas denai sejauh empat kilometer dengan menaiki bot melalui Sungai Malanau selama 15 minit.

         Pencari sarang burung layang-layang yang terdiri daripada penduduk tempatan sering mengunjungi gua ini. Selain itu, penduduk tempatan turut mencari najis kelawar untuk dijadikan baja bagi tanaman mereka.

         Keindahan Taman Negara Gunung Mulu ini tidak akan kekal jika tidak dipelihara. Oleh itu, semua pihak mestilah menghargai sumber alam dan memeliharanya supaya tidak dimusnahkan oleh manusia.